Tangga Bradley yang kini lebih dikenali sebagai Tangga Krai merupakan satu lagi titik bersejarah dan unik yang boleh ditemui di Kuala Krai, Kelantan. Ia bukan sekadar tarikan pelancongan biasa tetapi sebenarnya merupakan peninggalan warisan yang memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat setempat sejak hampir satu abad lalu.
Struktur ini dibina sekitar tahun 1927 hingga 1929 dan pada asalnya dinamakan “Tangga Bradley” sempena nama Ketua Pentadbiran Jajahan Kuala Krai pada waktu itu, Gerald Bradley. Tangga tersebut dibina bertentangan dengan laluan sungai besa iaitu Sungai Kelantan dan mempunyai sekitar 81 anak tangga yang turun dari tebing ke lantai air.
Fungsi Tangga Bradley pada zaman dahulu adalah sangat praktikal, ia menjadi pengkalan perahu dan motor sungai, penghubung penting antara Kuala Krai dengan kampung-kampung di hulu dan hilir yang belum ada jalan darat untuk akses harian. Penduduk kampung menggunakan tempat ini untuk menaikkan dan memunggah hasil pertanian serta bergerak keluar masuk ke bandar apabila perlu.
Selain itu, tangga ini juga berperanan sebagai sistem pengukuran paras air sungai, terutama semasa musim tengkujuh apabila laluannya kerap dinaiki air. Penanda bacaan paras air dipasang di sepanjang anak tangga, membantu komuniti setempat memantau keadaan banjir yang boleh memberi impak besar kepada kehidupan harian mereka.
Sejak beberapa dekad, nama “Tangga Bradley” telah digantikan dengan “Tangga Krai”, namun tempat ini tetap menjadi simbol sejarah dan hubungan sosial yang penting di bandar kecil Kuala Krai dan ianya sebuah struktur yang berkait rapat dengan cara hidup penduduk sungai serta kepelbagaian penggunaan ruang warisan di Kelantan.
